TAK KENAL, MAKA TAK CINTA




Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak kepada seluruh umat Islam. Bulan Ramadhan, bulan yang mulia, bulan yang saya rasakan afdal untuk saya memulakan penulisan pena saya untuk tatapan semua.

                                               
Bagi yang belum mengenali saya, izinkan saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu. Saya Wan Zaini Wan Hassan. Pengasas syarikat Imtiyaz Consultancy Sdn Bhd, dengan 9 Pengurus dan lebih 500 Perunding Takaful di seluruh Malaysia mewakili AIA Public Takaful Berhad.

So what?? Hebat sangat ke kalau jadi Pengasas syarikat?! 
Mungkin ada yang tertanya-tanya dengan kening terangkat sebelah.

Saya akui, saya tak hebat…. 

Bagi warga Kuala Kubu Bharu sekitar tahun 1990, anda mungkin pernah melihat seorang budak kurus tinggi dalam lingkungan umur belasan tahun, di salah sebuah pam petrol terkial-kial mengangkat pam petrol sambil bertanya kepada anda “Hijau ke merah bang?”

Saya mengaku.  'Pump Attendant' itu adalah saya..

Atau anda pernah berselisih dengan seorang pembantu makmal di kilang 'rubber thread' di Kuala Kubu Bharu yang tampak comot, tidak bergaya dan hanya makan gaji RM500 sahaja sebulan?

Saya mengaku. Mat Kilang itu adalah saya..

Atau mungkin saja anda pernah menjadi rakan kerja atau boss kepada seorang kerani di sebuah syarikat bank terkemuka di sekitar tahun 1994, atau mungkin juga anda tidak perasan kerana dia berpangkat rendah dan sering tenggelam di sebalik timbunan-timbunan kertas kerja yang tidak surut-surut dari 9 pagi ke 5 petang?

Saya mengaku. Kerani bank itu adalah saya..

Saya tak hebat…. 
Dan di atas kesedaran itu juga lah, saya memilih untuk mengubah nasib saya dengan 'menjerumuskan' diri dengan jualan insurans secara sambilan dan pada masa yang sama bekerja sebagai kerani bank dengan niat asalnya ingin menambah pendapatan.  


Namun, siapa sangka, bermula dengan jualan insurans secara sambilan ini, mata dan minda saya mula terbuka untuk melihat betapa banyak dan luasnya peluang-peluang untuk saya pergi lebih jauh lagi. Oleh itu, dengan penuh tawakal saya mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji setelah hanya 8 bulan menjadi agen sambilan dan menjadikan jualan insurans sebagai sumber pendapatan utama saya, sehinggalah penubuhan Imtiyaz pada tahun 2011.

Sekali lagi, untuk kesekian kalinya, Saya akui saya tidak hebat dan saya juga akui masih ramai lagi orang yang lebih hebat daripada saya di luar sana....

Namun, setelah berkecimpung di dalam bidang jualan Insurans dan Takaful selama  22 tahun, melangkah ranjau, onak dan duri dan merasa pahit maung, dari seorang agen Insurans yang pernah menunggang "Yamaha RX-S" semata-mata hendak mencari satu temujanji dengan pelanggan sehingga dinobatkan sebagai  'Champion District Manager' oleh AIA; satu-satunya agensi di AIA Malaysia  yang telah melakar sejarah kerana berjaya mencapai RM20 juta jualan baru, tidak keterlaluan jika saya mengatakan saya amat teruja dan terharu dengan pencapaian ini setelah berpenat lelah sekian lama. 
Syukur Alhamdulillah!



Namun saya bukan Haji Bakhil, saya merasakan tidak perlu kedekut untuk berkongsi kisah dan pengalaman saya yang mungkin bermanfaat dan boleh menjadi dorongan kepada anda, terutamanya kepada mereka yang masih tercari-cari tapak yang kukuh untuk berdiri di dalam bidang ini.

Bagaimana?

Nantikan blog saya yang seterusnya di bulan hadapan di mana saya akan mengupas dengan lebih lanjut pengetahuan saya mengenai jualan Insurans & Takaful dengan lebih mendalam. Insya Allah.

Selamat Berpuasa!

WAN ZAINI WAN HASSAN



Comments

Popular posts from this blog